Saturday 15 October 2011

Zaman Sekarang Zaman Ilmu.
Lengkapkan Dirimu Wahai Pejuang Muda!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Sebagaimana yang kita semua maklum, zaman sekarang merupakan zaman percambahan ilmu dan teknologi maklumat. Majoriti mentaliti manusia pada hari ini mencari titik logik dan rasional dalam sesuatu perkara. Sebagai bakal pendakwah pada masa hadapan, apa yang perlu kita lakukan dalam menghadapi golongan sebegini? Adakah ini fitrah seorang manusia ingin melihat bukti atau perkara abnormal? Mari renungkan sepotong firman Allah,

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata : Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati? Allah berfirman: Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanKu)? Nabi Ibrahim menjawab: Bahkan (aku percaya dengan yakin) , akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya). Allah berfirman: (Jika begitu) Ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya) . Setelah itu, letakkanlah atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian, serulah burung-burung itu, nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana.”
( Surah Al-Baqarah 2 : 260)


Menjadi perkara yang normal untuk manusia melihat bukti sebelum benar-benar meyakini sesuatu hakikat. Allah telah menunjukkan contoh kepada manusia melalui kisah KekasihNya, Ibrahim A.S. Sebagai makluman, Nabi Ibrahim A.S. dikurniakan gelaran Khalilullah(Kekasih Allah). Bayangkan bagaimana seorang Nabi dan Rasul yang mendapat gelaran Kekasih Allah pun ingin melihat bukti sebagai penguat keimanan, inikan lagi manusia biasa? Jadi, ayuh siapkan diri kita.

Sekilas Sejarah Nabi Ibrahim A.S.

Adapun ketika itu, Namrud merupakan Raja Babilonia. Dia telah bermimpi seorang anak kecil melompat ke dalam biliknya dan merampas mahkota yang sedang dipakai di atas kepalanya, kemudian anak kecil itu menghancurkan mahkota tersebut. Dipendekkan cerita, Namrud telah memerintahkan semua bayi yang dilahirkan agar dibunuh samaada lelaki mahupun perempuan.
Maka, dilarikan Nabi Ibrahim A.S. oleh ibunya ke sebuah gua bagi menyelamatkannya. Baginda dibesarkan di gua tersebut sehingga mencapai usia remaja. Ketika ibunya keluar mencari makanan di Bandar, baginda mula keluar melihat keindahan alam dan mula MEMIKIRKAN tentang pencipta alam. Baginda mula memikirkan siapakah tuhan yang sebenarnya? Kisah ini digazetkan oleh Allah dalam Al-Quran,

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda kebesaran Kami yang terdapat di langit dan di bumi, dan Kami memperlihatkan kepadanya agar ia yaki. Ketika malam telah menjadi gelap, ia melihat sebuah bulan (lalu) dia berkata : Inilah Tuhanku. Tetapi setelah bulan tenggelam dia berkata : Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang sesat. Kemudian ketika melihat matahari terbit, dia berkata : Inilah Tuhanku, ini lebih besar, maka ketika matahari itu tenggelam, dia berkata : Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas dari apa yang kamu persekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada yang benar, dan aku bukanlah termasuk dalam orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.”
(Surah Al-An’am : Ayat 75-79)

Kisah ini menceritakan betapa pentingnya bagi seorang pendakwah untuk sentiasa BERFIKIR dan BERUSAHA mencari ilmu dalam menemukan kebenaran.

Kelengkapan X-tra Seorang Pendakwah Muda.

Saya pasti sahabat dan sahabiyah semua tahu perkara-perkara asas dalam dakwah sebagaimana yang kita pelajari dalam buku Pengantar Dakwah. Namun hari ini, saya terpanggil untuk menyentuh mengenai kepentingan menuntut ilmu dalam pelbagai bidang terutamanya Isu Semasa,Sains dan Teknologi. Kekuatan seorang manusia ialah akal yang dikurniakan kepadanya. Golongan cerdik pandai ini akan dapat ditumpaskan melalui akal dan ilmu.
Seorang pendakwah tidak seharusnya hanya mahir dalam sesuatu ilmu sahaja tetapi perlu:-
  1. Peka pada isu semasa.


  1. Pandai mengaitkan antara kejadian semasa dengan dakwah yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, Tajuk yang ingin dikisahkan mengenai kelebihan menutup aurat. Selain menyampaikan kepada mad’u kelebihan yang dijanjikan Allah dan RasulNya, sampaikan juga bahawa kejadian rogol yang kian kerap berlaku kini akibat ingkar pada perintah memakai tudung.

Selain itu, kaitkan juga dengan kajian saintifik para saintis. Katakan padanya, dalam kepala manusia, terkandung satu cecair fosforus yang akan cair akibat suhu panas yang melampau. Cecair ini membantu manusia menyelesaikan masalah kerana cecair ini menjadikan otak manusia cepat berfikir. Melalui pemakaian tudung, kepala terlindung dari sinaran matahari yang terik dan akan menjadikan pemakainya terlindung dari pencairan cecair ini. Sebab itu, sekiranya anda perhatikan, orang-orang yang bertudung labuh, majoritinya bijak-bijak. Maha Suci Allah yang Maha Bijaksana!

  1. Pandai mendatangkan analogi atau kisah-kisah yang mampu menyokong dakwah. Contohnya, bandingkan sesuatu yang berharga dengan emas atau apa jua barangan yang dianggap berharga oleh mad’u kita. Sebagai contoh, kisah ranting yang diikat seberkas sebelum dipatahkan dengan ranting yang dipatahkan sebatang demi sebatang untuk memupuk semangat bersatu-padu.


  1. Penggunaan bahasa yang pelbagai dan tepat. Biasanya, golongan intelektual amat mengambil berat penggunaan bahasa. Contohnya, pendakwah mestilah mampu membezakan antara perkataan harus dan boleh. Harus memang membawa maksud boleh dilakukan tetapi perkataan boleh tidak semestinya membawa maksud harus dilakukan. Perkataan boleh mungkin membawa maksud boleh dilakukan tetapi hukumnya makruh.

  1. Banyakkan membaca buku terutamanya berkenaan Teknologi dan Sains. Intelektual yang kita hadapi bukan sebarangan orang. Mereka mahir dalam bidang Teknologi dan Sains. Sebab itu saya sarankan pendakwah muda seperti kita membaca buku-buku seperti ini dan cari perkaitan antara Sains dengan Islam. Antara buku-buku yang saya cadangkan buku tulisan Dr. Danial, Harun Yahya dan Ahmad Deedat(The Choice). Kaitkan antara kedua-duanya agar mereka lebih mudah menerima dakwah yang dibawa. Berdasarkan pengalaman saya, orang yang hebat dan petah apabila berkata-kata ini kesemuanya memang ulat buku! Sekiranya kita masuk ke bilik mereka, bilik seolah-olah menjadi perpustakaan mini yang dipenuhi pelbagai buku dari pelbagai cabang ilmu!

Segala yang baik datangnya dari Allah, segala yang buruk hakikatya jua datang dari Allah tetapi disebabkan kelemahan diri ini. Segala teguran yang membina amatlah dialu-alukan.
Wallahu A’lam.

Saturday 8 October 2011

Dugaan hidup; Interprasi pengurniaan darjat



~Suatu perkongsian kerdil agar kita bersama dalam kesabaran ketika imtihan laksana badai menduga ketabahan kita~

Kehidupan mematangkan kita. Ranjau dunia yang perit serta memori indah yang tersulam merupakan suatu momentum dari ilahi bagi membersihkan insan daripada segala kelemahan diri. Setiap perkara yang terjadi, bersamanya ada hikmah yang tersembunyi. Hukamak ada berkata, semakin lambat seseorang insan itu redha atas taqdir yang terjadi, maka semakin lambatlah mata hati dapat menyingkap hikmah yang tersirat.

Ahli sufi ada berbicara, semakin tinggi maqam (darjat) seseorang insan menurut tuhannya, justeru semakin tinggilah dugaan hidup yang ditempuhnya.

Tatkala kita diuji dengan berbagai-bagai onak cabaran yang memeritkan, ingatlah bahawa Allah itu ada. Dia menguji kita supaya dapat memastikan adakah kita seorang hamba yang penyabar serta redha, atau sebaliknya.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat..."(SURAH AL-BAQARAH, 2:186)


"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa Maha Pengampun" (SURAH AL-MULK, 67:2)

Kadangkala rencah musibah yang menggoncangkan jiwa bagai dirasa sekadar sia-sia. Namun begitu, ingatlah teman bahawa seorang muslim tidak akan merasa rugi lantaran janji-janji yang telah terpateri.

"Dari Abu Said al-Khudri radh. dan Abu Hurairah radh. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W bersabda; Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah, keletihan,sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekalipun melainkan diampuni akan dosa-dosanya." (HR BUKHARI)

Persis seorang pelajar cemerlang yang gigih menahan segala dugaan demi manggapai segulung kejayaan, begitu juga kehidupan sebagai pertempuran antara nafsu dan iman. Kesukaran yang melanda mengkehendaki dominasi iman yang optimum lantas ligat merencana formasi kesabaran demi manggapai kemuliaan khalifah di muka bumi Allah.

Allah yang Maha Bijaksana sengaja menyembunyikan khazanah kemuliaan amalan iman dari mata kasar insan agar hanya barisan yang menyemat komitmen yang jitu layak diuji bagi melayakkan pengurniaan darjat yang lebih tinggi diberi.

"Dari Abu Hurairah radh. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W bersabda: sesungguhnya Allah S.W.T telah menetapkan ketinggian darjat seseorang itu pada satu tahap melalui amalannya. Namun melalui amalannya itu, dia gagal mencapai darjat tersebut. Lalu Allah menguji 9dengan berbagai penderitaan, kesakitan atau kesusahan) sehinggalah dia sampai ke darjat tersebut." (HADIS NABI)

Solusi kerungsingan yang dirasai sebenarnya bermula dari dalam diri. Ibarat dalam huru-hara kancah peperangan, laskar yang tidak berfikiran tenang akan sukar merangka strategi serangan balas malah tindak-tanduknya akan terburu-buru lalu kemungkinan maut baginya malahan hampir. Redha dan sabar merupakan aset seorang muslim tatkala mengharungi pancaroba duniawi.

"Dari Anas radh. meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda; Sesungguhnya besarnya pahala adalah bergantung dengan besarnya ujian atau penderitaan. Dan sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum. Dia akan menguji mereka (dengan penderitaan). Oleh sebab itu, barangsiapa yang redhai ujian Allah, Allah juga akan meredhainya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah juga tidak meredhainya" (HR TARMIZI)

"Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan janganlah (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang beriman." (SURAH ALI-IMRAN :139)

"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan salat. Sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar." (SURAH AL-BAQARAH :152-153)


"Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya, dan menghapuskan kesusahan." (SURAH AL-NAML :62)


"(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata; "sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjik hidayatNya." (SURAH AL-BAQARAH: 156-157)

Dugaan adalah peringatan. Saat mentaliti leka dek hempasan halusinasi duniawi, dugaan adalah ayat-ayat Tuhan yang mengingatkan hakikat kehidupan duniawi adalah demi ukhrawi. Musibah selaku pengikis dosa menyucikan insan daripada khilaf agar ia termaaf.

Usah risau andai tandusnya nikmat, tetapi risaulah jika hidup seakan-akan istidraj. Semoga perkongsian yang sedikit ini adalah saham akhiratku yang kekal. wassalam.

dipetik dari zakizikr.blogspot.com

Friday 7 October 2011

Jangan Tertipu Duhai Pendakwah Muda!

Lama sudah laman ini bersawang...
Cukup padanlah dengan namanya laman sesawang...
                                                                                                                                      
Terlalu lama rasanya tangan ini tidak menekan kekunci-kekunci komputer ini....
Sedar tidak sedar sudah tamat satu semester pengajian saya di Darul Quran...

Maaflah kepada pembaca-pembaca yang sentiasa menjengah ke blog ini mengharap sesuatu buat dijadikan santapan rohani, namun hanya artikel-artikel lama yang menjadi santapan mata anda....

Berundur tak semestinya tewas,diam tak semestinya kosong....
Ilmu di dada harus dipenuhkan untuk berbakti kepada pertiwi...
"Aku lebih suka menjadi manusia biasa yang luar biasa daripada menjadi manusia luar biasa yang biasa."

Teringat ungkapan yang sering meniti di bibir saya kepada teman-teman...Puncanya,ramai yang melaungkan semangat berjihad,lantang bersuara apabila sensitiviti umat Islam dicabar namun, amalannya menghampakan....

Berapa ramai bangkit apabila isu kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam tetapi,berapa ramai pula yang sering menyebut nama Allah?

Bukan salah bersuara untuk isu sebegini namun,amalan harus seiring dengan perkataan.Pepatah Inggeris pun ada mengatakan,
"Walk the talk!-Laksanakan apa yang kamu perkatakan!"
Bukankah Allah juga ada berfirman dalam Surah As-Saff ayat 2 dan 3,
"Wahai orang-orang yang beriman,mengapa kamu perkatakan apa yang tidak kamu perbuat?Amat besarlah kemurkaan Allah bagi mereka  yang memperkatakan apa yang  tidak mereka perbuat.." 
Tapi,umat Islam hari ini terutamanya di Malaysia silap,mereka bersemangat untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi namun,hubungan dengan Allah tidak dijaga...
Berapa ramai yang bangun untuk solat Subuh berjemaah di masjid?
Anda semua pasti maklum sendiri...

Saya menulis berdasarkan pengalaman saya di Darul Quran dalam semester pertama..Apa yang saya lihat,semangat Islamik memang kuat mengakar dalam diri mereka,ia satu perkara yang bagus dan harus dibanggakan namun,apabila dikejut untuk solat Subuh,hanya beberapa orang sahaja yang 'kuat' untuk mengangkat selimut yang membaluti tubuh..

Bagaimana mahu berjuang andai selimut tidak mampu diangkat?
Bagaimana mahu berjuang andai mata tertutup rapat kala azan Subuh berkumandang?

Sedih...
Cukup bersemangat menentang,cukup lantang bersuara,namun amalan tidak seberapa...
‎"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan sedikitlah orang yang memberi peringatan." [Hasan al-Basri]

Saya yang terdidik selama 5 tahun di persekitaran sekolah berasrama penuh berasa sangat kecewa dengan keadaan ini..
Apa taknya,saya sekarang menuntut dalam bidang agama,majoriti yang menuntut di IPT saya semuanya berasal dari sekolah-sekolah agama yang pastinya lebih faham dengan isu-isu seperti ini kerana mereka biasa terdidik dalam perkitaran yang solehah....

Pelbagai persoalan menelusuri serebrum otak saya..
Adakah ini ustaz dan ustazah yang akan mendidik anak-anak bangsa pada masa hadapan?
Macam mana didikan mereka mampu membentuk generasi Islamik yang sejati andai beginilah keadaannya?

Wahai pejuang-pejuang agama Allah sekalian!
Sekali kita menapak dalam bidang agama,kita akan menjadi tumpuan..
Semua mata melihat kita tatkala kita keluar kepada masyarakat...
Janganlah kita menjadi fitnah kepada agama ini...Disebabkan akhlak kita,kelakuan kita,bahasa kita,orang semakin jauh dari Islam...Seorang bekas paderi yang dulunya kuat berpegang teguh dengan ajaran Kristian,kini sudah menjadi seorang pendakwah bebas pernah mengungkapkan,
"Aku bersyukur mengenali Islam sebelum aku mengenali umat Islam.Andai aku mengenali umat Islam sebelum aku mengenali Islam,belum tentu agama yang aku anuti kini ialah Islam..."
  
Kadang-kadang,sesetengah pendakwah-pendakwah muda berasakan diri mereka sudah cukup dengan amalan mereka.Mereka berasakan mereka hebat dan sudah cukup bagus,hakikatnya mereka telah tertipu dengan bisikan syaitan.Sesungguhnya Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani pernah berkata,
"Janganlah tertipu dan kagum dengan ketaatanmu,tapi mintalah kepada Allah agar menerima ketaatamu...Takutlah sekiranya Allah membawamu ke jalan lain..."
                                                                                                                                 
"Setiap anak Adam itu pernah melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat." 

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan,laut mana yang tidak bergelora...
Ayuhlah teman-teman seperjuanganku,kita kembali bangkit memperbaiki diri...
Mari denganku menegakkan kalimah Ilahi di muka bumi ini agar kebitaraan Islam bersinar kembali....
"Kehidupan ini adalah keyakinan dan perjuangan...Perjuangan seorang Mukmin Sejati tidak akan berakhir kecuali kedua-dua belah kakinya menginjak pintu syurga..." (Imam Ahmad Bin Hanbal)
Dipetik dari generasiprotaz.blogspot.com

pencinta_syahid

..:: Aktiviti Dakwah's Crew ::..