Thursday 19 April 2012

Bagaimana Engkau Melihat?

Begitu banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan kita...
Pelbagai ujian datang menjengah biarpun tidak pernah walaupun sekali kehadirannya diundang...
Terasa lemah menguasai diri, terasa kesedihan mencengkam jiwa..
Mengapa dibiarkan lara menguasai sukma pabila punya pilihan untuk bergembira?




Hidup ini adalah bagaimana kita membuat pilihan...
Bagaimana cara kita melihat sesuatu....




Andai kita memilih untuk melihat dari sudut yang negatif,maka negatiflah ia..
Andai kita memilih untuk melihat dari sudut yang positif,maka positiflah ia...

Bukankah Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda dalam sebuah hadis Qudsi?

"Sesungguhnya Aku(Allah) pada pandangan hamba-hambaKu"


Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna juga pernah berkata,

"Andai jiwa manusia itu istiqamah dan bersih, maka segala yang lahir darinya indah & jernih" 


Kita lupa bukan semua yang kita suka itu suatu kebaikan bagi kita...
Dan sesuatu yang kita benci itu suatu keburukan bagi kita...
Lupakah kita pada firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 216,

"...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu sedangkan perkara itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu sedangkan ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."


Satu analogi mudah saya bawakan kepada sahabat-sahabat seakidah,muslimin & muslimat...
Memandangkan keputusan peperiksaan baru sahaja diumumkan, saya ingin menjadikan keputusan peperiksaan itu sebagai contoh mudah..


Pastinya senyuman indah terukir di wajah sahabat-sahabat yang mendapat keputusan yang baik,apatah lagi keputusannya begitu cemerlang..Kalau orang putih cakap, golongan ni merupakan golongan yang "pass with flying colours".Betapa indahnya bahasa dalam meggambarkan betapa hebatnya keputusan mereka.

Berbeza pula keadaannya dengan sahabat-sahabat yang bukannya tidak bijak namun kurang bernasib baik.Pastinya kesedihan menghiasi kamar jiwanya meskipun wajahnya kelihatan bergembira.Luka di luar semua orang nampak,namun luka di dalam,siapa yang tahu?

Kadang-kadang,ada segelintir golongan yang kurang bernasib baik ini terlalu berfikiran negatif sehingga menyebabkan dirinya berputus asa dan menyerah kalah.Saya pasti akan hal itu kerana saya pun manusia,pernah mengalami pengalaman sebegitu.Namun,mari kita fikirkan semula.

"Kenapa kita perlu bersedih sedangkan kita boleh bergembira?Bukankah perkara itu telah pun berlalu.Lebih baik kita memperbaiki diri & berfikir jauh ke hadapan supaya kita tidak mengulangi lagi kesilapan yang sama."  


Membuang masa sekiranya minda kita asyik tertumpu kepada perkara yang telah berlalu tanpa mengambil ibrah(pengajaran) daripada peristiwa tersebut.Sejarah bukanlah untuk dibangga-banggakan,bukan juga untuk dikesalkan namun sebagai satu cetusan minda agar segala yang baik dijadikan panduan & segala yang buruk dijadikan pengajaran supaya tidak terus-menerus dilakukan.

Jangan kita lupa bukan semua orang dikurniakan anugerah oleh Allah berupa ujian.Kita patut bersyukur kerana Ujian itu suatu Anugerah bukannya satu Penghinaan.Kenapa pula saya katakan ujian ini satu anugerah?
Jom kita lihat dengan mata hati!

Ujian ini satu anugerah kerana:



1.Allah S.W.T. mahu kita menjadi lebih baik.

“Barang siapa yang dikehendaki Allah menjadi orang yang baik maka dia akan diberi-Nya cubaan.” (H.R.Bukhari)




2.Allah S.W.T. ingin menghadiahkan pahala ganjarannya atas nikmat sabar & redha.


“Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya cubaan. Sesungguhnya apabila Allah Ta’ala itu mencintai suatu kaum maka Dia mengujinya. Barang siapa yang rela menerimanya, dia mendapat keredhaan Allah, dan barang siapa yang murka, maka dia pun mendapat kemurkaan Allah” (H.R.Tirmidzi)




3.Allah S.W.T ingin menghapuskan dosa baginya.



“Seorang muslim yang ditimpa penderitaan, kegundahan, kesedihan, kesakitan, gangguan, dan kerisauan, bahkan hanya terkena duri sekalipun, semuanya itu merupakan kafarat (penebus) dari dosa-dosanya (H.R. Bukhari dan Muslim)


Dan mari kita lihat pula beberapa perkara:-

1.Sebagai seorang mukmin, kita kena yakin bahawa segala yang berlaku pasti ada hikmahnya yang tersembunyi.Cuma minda kita belum mampu menduga apakah hikmah di sebaliknya.Saya bagi situasi bagi memudahkan kita semua untuk faham. 

          Kadang-kadang kita marah ditegur mahupun dinasihatkan oleh sahabat-sahabat kita.Hakikatnya kita patut bersyukur dan bergembira kerana ada orang sudi menasihatkan kita di saat orang lain hanya membisu melihat kesalahan kita.Cuba kita fikir,andai sahabat kita tidak menegur kita, sampai bila-bila pun kita akan berulang kali melakukan kesalahan yang sama.

Seorang cerdik pandai pernah berkata,

"Bersyukurlah kepada orang yang menyakitkan kamu kerana ia menambahkan kamu."


 Pepatah Inggeris pun ada menyebutkan,

"No pain,no gain!" 


Dan dalam Islam sendiri ada mengajarkan,

 "Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis."


2.Cuba kita melihat pula dari sudut Sains itu sendiri..


      Rainbow formation.png


Pelangi dihasilkan apabila cahaya terbias melalui titik air di udara. Sebab itulah pelangi selalu dapat dilihat selepas hujan. Ia berbentuk melengkung (bulat) kerana titisan air di udara berbentuk bulat/sfera. Namun biasanya bahagian bawah pelangi itu "terlindung" oleh bumi. Fenomena pelangi ini juga boleh dilihat dengan membelakangi matahari dan menyembur air pada hari yang cerah.




Hakikatnya,pelangi yang indah takkan mampu dilihat andai tiadanya hujan menimpa bumi.Begitu juga kehidupan kita.Kehidupan ini pastinya hambar sekiranya kita hanya mampu merasai emosi gembira tanpa wujudnya kesedihan.Hidup ini pasti dirasakan indah andai sesekali tangisan hadir melembutkan jiwa.Saat itu,barulah kita akan mula berfikir dan menghargai kehidupan kita.Yang penting,kita kena sentiasa bersangka baik pada Allah dan melihat segala yag berlaku dari sudut yang positif.

3.Dalam Islam,kita belajar untuk redha dan bersangka baik.Kita sedar diri kita ini cuma seorang hamba yang layak untuk diuji keimanannya;adakah benar kita ini seorang yang benar-benar beriman ataupun sekadar berpura-pura.Allah S.W.T. telah bersabda dalam Surah Al-Mulk ayat ke 2,

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu:siapakah di antara kamu yang lebih baik amlnya;dan Ia Maha Kuasa(membalas amal kamu),lagi Maha Pengampun,(bagi orang-orang yang bertaubat);


4.Sedangkan para nabi & rasul yang dijanjikan syurga pun diuji dengan ujian sebegitu dahsyat, mengapa pula kita sebagai insan biasa yang tidak lari daripada melakukan dosa tidak diuji?
Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 214,

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga,padahal belum sampai kepada kamu (ujian & cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit,serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh),sehinggalah berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman besertanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah, sesugguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)."


5.Dunia ini penjara bagi orang mukmin.Maka,sudah tentulah kita akan disajikan pelbagai perkara yang menyedihkan.Rasulullah S.A.W. telah bersabda,

"Dunia ini penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir." 


6.Tapi,yang paling penting ialah cara kita melihat sesuatu.Sebagai contoh,saya berikan analogi 2 watak yang berbeza namun menerima musibah yang sama berupa kecurian harta.Saya berikan namanya A & B.

A : Tak guna betul punya pencuri. Habis handset aku yang baru dibeli hilang dalam sekelip mata.Siaplah kalau aku jumpa,aku pukul habis-habisan.

Si A tidak redha dengan kehilangannya dan hatinya penuh dengan kebencian.Rugilah Si A kerana dia tidak bersabar dengan ujian Allah.Dia lupa walaupun hakikatnya orang yang mencuri telefon bimbitnya namun itu semua telah ditakdirkan oleh Allah.Dia seolah-olah tidak redha dengan percaturan Allah buatnya.

B : Habis hilang handset aku. Tak pelah,mungkin Allah nak menguji aku.Mungkin aku akan dapat handset lain yang lebih baik selepas ini.Yang penting,aku dah berusaha mencari semula.Mungkin bukan rezeki aku.

Si B sedar bahawa dia hanyalah seorang hamba yang sedang diuji oleh Tuhannya.Maka dia bersabar dan redha menerima ketentuan Tuhannya.Baginya pahala atas kesabarannya.

7.Sebagai penutup,marilah sama-sama kita renungkan sebuah hadis.




“Sungguh menakjubkan sikap seorang mukmin itu, segala keadaan dianggapnya baik dan hal ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya, dan apabila ditimpa penderitaan, dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”(H.R.Muslim)

Wallahu A'lam..
Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu pun hakikatnya datang dari Allah namun ia disebabkan kekurangan dan kekhilafan diri ini.Andai tersilap,mohon ditegur.Andai ianya baik,mohon disebar-sebarkan.

Jom hayati lagu Rahmat Ujian nyanyian kumpulan Mestica.
Rahmat Ujian-Mestica


Unit Informasi Syukbah Dakwah

..:: Aktiviti Dakwah's Crew ::..