Monday 24 September 2012

Jagalah Hatimu!


Dengan Nama Allah S.W.T. yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, selawat & salam kupanjatkan atas Rasul Junjungan, Rasulullah S.A.W. yang menjadi belahan jiwa setiap insan yang beriman. 

zina

“Katakanlah (Wahai Muhammad), jika benar kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintaimu & mengampunkan dosa-dosamu . Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Ali-Imran 3 : 31)

Sahabat-sahabat seperjuanganku,

Izinkanlah diri ini berbicara, luangkanlah masamu biarpun seketika; biarpun tidaklah sehebat mana, namun kuharap picisan ini dapat dibaca. Bukanlah nama yang ingin kutempa, populariti sudah tentu bukan jawapannya jua, sekadar luahan rasa; buat peringatan kita bersama-sama.

Aku sedar sahabat-sahabat sekalian tidak kiralah muslimin & muslimat mulai resah & gelisah dalam memikirkan persoalan teman hidup. Normallah dalam usia lingkungan 18 ke 20-an memikirkan hal-hal sebegini. Itu fitrah kita sebagai manusia, punyai rasa untuk mencintai & dicintai, merindui & dirindui, menyayangi & disayangi (Macam pernah dengar ayat ni kan? Lagu kumpulan In-Team.Lupalah tajuknya). Namun, bukanlah lagu ini yang menjadi isu perdana yang ingin kubahaskan pada ‘post’ kali ini. Jadi, apa persoalannya? Jomlah kita baca dulu sampai habis. Boleh kan?

Sahabat-sahabat seperjuanganku,

                Begitu pantas masa berlalu, pelbagai peristiwa terpahat seiring perjalanan waktu, pelbagai amanah mulai tergalas di bahu; mematangkan sukma & kalbu. Perasaan cinta mulai merasuk kalbu, menenggelamkan diri dalam lautan rindu. Aduhai sahabatku, andainya engkau tahu, betapa sedihnya diriku tatkala melihat dirimu haru-biru.

                Aku akui cinta itu fitrah insani, tidak pernah & tidak akan kunafikan walaupun sekali. Aku juga punyai hati, punyai cinta dalam diri, turut bergejolak menyeksa diri. Namun, aku mengerti cinta bukanlah untuk menyakiti, lantaran itulah prinsipku sehingga kini, biarlah yang tahu hanya Dia & diri ini, tidak akan ada yang tahu selain kami, sehinggalah masanya tiba nanti.

Sahabat-sahabat seperjuanganku,

                Jagalah hatimu. Jangan pernah biarkan walaupun sekali untuk imanmu dikuasai nafsu. Pertahankanlah imanmu sehingga ke akhir waktu. Aku tahu bukanlah mudah untuk dilaku, namun mujahadah itu sangatlah perlu. Ingatlah mujahadah itu sepahit hempedu, kerna syurga itu manis umpama madu; malahan lebih dari itu. Semoga di syurga hakiki kita bertemu.

Ya ikhwani yang kucintai keranaNya,

                Andai engkau menjadi ketua, janganlah cuba bermain kata; memikat dengan keindahan bahasa, kelak tersungkur engkau di hadapanNya. Janganlah sesekali engkau mencuba. Selagi belum bersedia memperisterikannya! Andai langkah dimulai si dia, peringatkanlah kembali hukum Tuhan padanya. Bahawa haram untuk MENGHAMPIRI ZINA, apatah lagi bermanja-manja, berzina tidak perlulah untuk dicerita, semua pun faham belaka.

Ya ikhwati yang kukasihi keranaNya,

                Jagalah bicaramu, janganlah sengaja engkau mendayu-dayu, sendainya tetap engkau begitu, laknat Allah S.W.T. atas dirimu. Jadikanlah malu itu perisaimu, sebagaimana auratmu yang engkau pelihara rapi sebegitu; tudung labuh pilihanmu, malahan berpurdah pula segelintir daripadamu . Jangan biarkan malumu hanya pada pakaianmu, tetapi juga dalam percakapanmu, sudah tentu juga dalam pergaulanmu. Hendaklah malu juga engkau dalam melakukan maksiat pada Tuhanmu, jangan dilupa itu, malahan itulah yang seharusnya menjadi nombor satu.

                Pertahankanlah kemuliaan dirimu, jangan demi seorang lelaki yang belum halal bagimu, engkau gadaikan kemuliaanmu. Jagalah dirimu untuk suamimu, jangan pernah engkau lupakan itu! Janganlah engkau bocorkan segala perihal dirimu, apatah lagi masalahmu, pada si dia yang belum halal bagimu, meskipun dia tunanganmu! Adulah pada Allah S.W.T., Tuhanmu yang satu, yang Maha Mengetahui segala sesuatu, meskipun tersembunyi dalam kalbu. Bukankah Nabi Ya’kub A.S. pun pernah mengajarkan pada aku dan dirimu supaya hanya kepadaNya segala-galanya diadu?

“Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan & dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang tidak kamu mengetahuinya.”
(Surah Yusuf 12 :86)

                Seandainya tidak mampu, mengapa tidak engkau luahkan pada sahabat-sahabat sejantinamu? Atau pada guru-guru atau murobbitahmu? Mengapa perlu diluah kepada insan yang tidak perlu? Ambillah nasihatku melalui mata hatimu, jangan dibiar nafsu menguasaimu.

Sahabat-sahabat seperjuanganku,

                Janganlah menjadi fitnah kepada perjuangan ini. Jalan ini suci, cinta itu juga suci, jangan sesekali engkau cemari! Tabahkanlah jiwa & hati, moga beroleh rahmat Ilahi. Kusedar bukanlah sesiapa diri ini, tulisan pula tidaklah berkualiti, bukan pula orang selayaknya untuk memberi, tapi hayatilah nasihatku ini, buat bekalan dalam perjalanan ini.

Wallahu A’lam.
Wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

..:: Aktiviti Dakwah's Crew ::..