Tuesday 18 December 2012

HARIMAU VS NYAMUK




Apa yang saya nak kongsikan di sini, bagaimana perbandingan yang sahabat saya Elya sampaikan kepada saya dan sahabat-sahabat semasa berbual-bual semalam. Perbandingannya cukup menarik, mengajak manusia berfikir. "Berapa orang yang mati akibat dibaham harimau setahun?" Kami terfikir dengan apa yang disampaikan Elya semalam. Benar, boleh dibilang dengan jari di sebelah tangan. Watak harimau yang terbayang ialah haiwan ganas, besar, kuat, digeruni dan lain-lain. Namun, bilangan yang mati dibaham Pak Belang ini melalui statistik terlalu sedikit berbanding dengan manusia yang mati akibat nyamuk.

Apa yang terbayang di fikiran kita, nyamuk adalah serangga kecil, lemah, sekali jentik pun boleh mati dan lain-lain. Namun, statistik menunjukkan, kematian akibat nyamuk saban tahun jauh lebih tinggi daripada akibat dibaham harimau. Apabila disebut nyamuk, kita akan terbayang demam denggi, JE, cikungunya (Us. yang menyampaikanm tazkirah yang saya ikuti semalam menyebut demam "Cikgu Ya" disebabkan sukar menyebutnya : ) ).

Mesej yang hendak disampaikan semalam ialah kekadang kita sebagai muslim selesa atas dasar kita tidak pernah melakukan dosa-dosa besar. Kita mungkin tidak membunuh, meminum arak, berzina dan lain-lain lagi tetapi kita selalu lalai dengan dosa-dosa kecil yang telah kita kumpulkan dengan begitu banyak. Kita kurang menyedari dosa kecil yang kita lakukan sedangkan ianya menjadi saham untuk memudahkan kita memasuki neraka yang kita tidak ingini.

Perbandingan yang disampaikan menyebabkan kami teruja. Mudah sekali perbandingannya dan cukup tepat. Sememangnya kita cukup selesa tinggal di bandar dan pekan yang tidak ada harimau di kiri dan kanan tetapi kekadang kita kurang berfikir soal serangan nyamuk, si serangga kecil yang mampu membawa kepada kemudharatan.

Mesejnya, berhati-hati dengan dosa kecil yang terkumpul. Jangan hanya kerana terlalu memikirkan soal melarikan diri dari harimau semata-mata sehingga kita lupakan kesan nyamuk, si serangga kecil yang pernah membunuh Namrud satu ketika dahulu.

"Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosa kami sama ada besar atau kecil, sengaja atau tidak sengaja, sekiranya Engkau tidak mngampunkan dosa kami, siapa lagi yang akan mengampunkan dosa kami Ya ALLAH.....”


By; hafiizatul_quran@yahoo.com

..:: Aktiviti Dakwah's Crew ::..