Wednesday 27 June 2012

Munajat Kesyukuran


Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran kami panjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana tanpa izin-Nya; kami tidak akan mampu untuk melaksanakan program ini. Selawat & salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in seterusnya mujahiddin yang dirahmati Allah kerana tanpa perjuangan baginda & pewaris baginda, nescaya Islam tidak akan mampu kita kecapi.

Sedar tidak sedar, pejam celik pejam celik, kini kami sudah berada di semester 3; bermakna tahun ini merupakan tahun kedua pengajian kami di Darul Quran yang tercinta.

Tidak dapat dinafikan, ukhuwwah Islamiah yang terbina atas dasar akidah merupakan nikmat yang sungguh manis & berharga. Walaupun begitu, kita harus ingat, ukhuwwah yang terbina pasti akan diuji dengan pelbagai rintangan bagi mengukuhkan ikatan yang telah dijalin. Itulah lumrah alam, itulah sunnatullah. Kita pasti akan diuji bagi membuktikan sejauh mana keimanan kita kepada-Nya.

Semester 3 di Darul Quran merupakan semester yang cukup sibuk kerana saat inilah, semua pelajar semester 3 akan dilatih dengan kepimpinan. Pelajar-pelajar semester 3 lah yang mula mencatur perjalanan kampus Darul Quran. Masing-masing mula wujud pelbagai komitmen, sama ada persatuan, kelab, program-program mahupun aktiviti luar. Ketika inilah, ukhuwwah mulai teruji.

Alhamdulillah, Saudara Idris selaku ketua syukbah begitu pantas mengatur langkah bagi mengeratkan kembali tautan hati yang kian renggang seiring ligatnya putaran waktu. Oleh itu, pada hari Isnin yang lepas bersamaan 25 Jun 2012 telah diadakan Solat Hajat Perdana & Bacaan Yasin antara kami semua. Solat Hajat tersebut diimamkan sendiri oleh Saudara Idris selaku ketua syukbah. Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Yasin secara berjemaah diketuai oleh Saudara Munir Bin Rahimi yang merupakan salah seorang ahli syukbah merangkap Setiausaha Perwakilan Semester.

   Suasana menjadi lebih gamat & meriah saat penyerahan baju korporat yang telah lama ditempah. Cantik! Smart! Memang berbaloi tempah baju ni. Majlis disudahi dengan bacaan doa & bersalam-salaman sambil memohon kemaafan antara ahli syukbah.

Ya Allah! 
Syukur pada-Mu kerana kami mampu merasai kembali nikmat ukhuwwah atas tautan hati kami yang engkau kukuhkan sebelum ini,
Ya Allah!
Janganlah Engkau putuskan ikatan ini,
Jangan Engkau pisahkan kami setelah bertautnya hati kami,
Ya Allah!
Engkau satukanlah hati-hati kami atas kebenaran,
Atas jalan yang Engkau redai,
Ya Allah!
Hanya Engkau yang Maha Berkuasa,
Hanya Engkau yang Maha Bijaksana,
Kepada-Mu kami menyembah,
Kepada-Mu juga kami berserah,
Semoga ikatan yang terbina kerana-Mu hanya akan berakhir kerana-Mu.
Amin Ya Rabbal A'lamin.

0 comments:

Post a Comment

..:: Aktiviti Dakwah's Crew ::..