Friday, 9 December 2011

Tak Berbaloi Jadi Baik!!!

Dalam menelusuri aksara kehidupan ini, pelbagai onak dan duri terpaksa ditempuhi, pelbagai kesakitan dapat dirasai, pelbagai dugaan menimpa diri...

Kadangkala.....
Kita telah membuat pelbagai cara untuk menjayakan sesuatu tetapi hasilnya tetap tidak memberangsangkan menjadikan kita kecewa dan putus asa dengan hakikat yang berlaku...

Kadangkala.....
Kita cukup bersemangat menjalankan sesuatu perkara, namun orang di sekitar membuat endah tidak endah menjadikan kita hilang semangat dan seterusnya menyerah kalah...

Sedangkan....
Perkara yang ingin kita laksanakan ialah perkara yang baik...
 Perkara yang dapat memberi manfaat kepada diri dan juga orang lain...

Kita cuma....
Mahu menasihati, membetulkan kesilapan yang berlaku. Kita mahu mereka bersama-sama bergandingan tangan menuju syurga Ilahi...

Tetapi....
Pesanan kita tidak diambil peduli. Segala air-liur hanya keluar bersama rembesan ‘sallivary amylase’ tanpa penghayatan dipupuk dalam hati...

SIA-SIA!

 ***

Zaman sekarang kan...
Zaman Sains & Teknologi, apa dipeduli hukum Ilahi?

Katanya...
Semua orang pun buat, perkara normallah macam tu...

Katanya...
Kitorang ni kira baiklah kalau nak dibandingkan dengan orang lain..Kitorang masih lagi bersembahyang, masih lagi berpuasa, masih bayar zakat, haji je tak mampu nak pergi lagi...Perkara wajib semua kitorang buat, so buat apa nak kecoh-kecoh?

Kata mereka...
Kat luar tu, lagi ramai tak sembahyang, tak berpuasa, tak berzakat; berjudi pulak tu, minum arak, berzina....

Takkan...
Hisap rokok tak boleh kot...
Rokok kan makruh je hukumnya...

Takkan...
Couple pun tak boleh kot...
Bukannya berpegang-pegangan tangan pun..Kitorang tahu batas-batasnya OK! Kitorang ni ‘Couple Islamic’!
 Semua itu NORMAL lah wei!

Mungkin....
Normal pada pandangan mereka tapi tidak pada pandanganku...

Hakikatnya....
Golongan sebeginilah yang sering mengundang perasaan sedih dan kecewa ke kamar hati...
Satu persoalan perlu ditanya!!!
Mengapa perlu engkau bersedih wahai pejuang panji-panji Allah?
Mengapa perlu engkau menangis seruanmu tidak diambil peduli?

Atau...
Mungkin sahaja engkau tidak Ikhlas dalam melaksanakan amalmu...
Memikirkan tiadanya sambutan yang hangat terhadap seruan dakwahmu....
Memikirkan diri seperti tidak dihargai dan disayangi...
Berasa seperti terasing dan diasingkan...
Sudah tentu Engkau tidak Ikhlas!!!

Kenapa????
Sebab orang yang Ikhlas hanya mencari reda Allah!
Biarlah hina di mata manusia tetapi mulia di hadapan Tuhannya!
Biarlah manusia benci terhadapnya namun Allah dan Rasul menyayanginya!

Jadi...
Reda Allah atau reda manusia yang dicari???
Lupakah engkau???
Hidayah itu milik Allah, bukannya milikmu...

Jadi...
Benarkah Engkau Ikhlas?!!
Cubalah tanya pada dirimu...
Kerana aku juga pernah berasa begitu...
Lalu, ditunjukkan Allah jalanNya padaku,
Alhamdulillah Ya Rabbi,
Ikhlas kini sentiasa cuba kukecapi,
Sebelum setiap amal yang kumulai...
Biarpun susah hendak dicari...
Biarpun sukar hendak kutemui...
Akan sentiasa kugagahi diri ini,
Hanya dengan Ikhlas yang Engkau anugerahi,
Hatiku kini tiada sangsi,
Hanya keredaanMu yang kucari,
Cacian orang tidak kupeduli,
Biarlah orang menjauhkan diri,
Namun Engkau sentiasa di sisi,
Menjadikan aku insan yang sentiasa puas dengan segala yang dimiliki....

Renungan
Allah berfirman,
“Tidaklah engkau diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka yang kafir mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturannya)...”
(Surah Al-Baqarah ayat 272)

Sabda Nabi Muhammad S.A.W.,
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat. Dan sesungguhnya setiap perkara itu mengikut apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka dia menuju kepada (keredaan) Allah dan Rasul, sesiapa yang berhijrah kerana dunia dan seisinya ataupun perempuan untuk dinikahinya, maka dia akan mendapatkan sebagaimana yang dihajatinya.”

Rasulullah S.A.W. bersabda lagi,
“Islam itu datang dalam keadaan asing, dan akan kembali asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing.”

Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna telah berkata,
“Jika jiwa manusia istiqamah dan jernih, maka apa-apa sahaja yang muncul darinya akan menjadi soleh dan indah.”

*** 

Fakta Pahit Tapi Benar.
1 . Rokok telah difatwakan haram oleh Jumhur Ulama’. Rokok dicipta oleah orang Israel Laknatullah, namun bangsa mereka sendiri dilarang menghisap rokok. Rokok hanyalah agenda Yahudi untuk menghancurkan umat Islam. Jadi, apa tunggu lagi? Adakah ketika ajal menjemput diri? Fikirlah sendiri.. 
2 . Cinta memang wujud sebelum pernikahan tetapi istilah ‘Couple Islamic’ tidak pernah wujud kerana perbuatan ‘Couple’ merupakan perbuatan yang amat dilarang dalam agama.
“Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua  kakinya juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ke tempat pertemuan). Mulut juga  berzina dan zinanya ialah ciuman.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud).

 (Sila bezakan antara perasaan ‘cinta’ dengan ‘couple’. Orang ber‘cinta’ tidak semestinya ber‘couple’ dan orang ber‘couple’ tidak semestinya ber‘cinta’ kerana ‘cinta’ itu suatu perkara yang suci manakala datangnya nafsu menodai kesucian ‘cinta’ apabila hadirnya ‘couple’ itu. Orang yang benar-benar mencintai seseorang, dia tidak akan memilih untuk bercouple tetapi mendiamkan diri ataupun pernikahan kerana dia tidak mahu orang yang dicintainya dinodai nafsu durjana. Dia mahu orang yang dicintainya masih terbungkus dalam kesucian maruah dan harga diri. : )

 Allah telah berfirman,
“Dan janganlah kamu mencampur-adukkan antara kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah : Ayat 42)

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang baik datangnya dari Allah, yang buruk itu hakikatya jua datang dari Allah tetapi disebabkan kelemahan diri ini. Sebarang kesilapan mohon ditegur, sebarang kebenaran mohon disebar. Wallahu A’lam...


Dipetik dari :
http://generasiprotaz.blogspot.com

Saturday, 15 October 2011

Zaman Sekarang Zaman Ilmu.
Lengkapkan Dirimu Wahai Pejuang Muda!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Sebagaimana yang kita semua maklum, zaman sekarang merupakan zaman percambahan ilmu dan teknologi maklumat. Majoriti mentaliti manusia pada hari ini mencari titik logik dan rasional dalam sesuatu perkara. Sebagai bakal pendakwah pada masa hadapan, apa yang perlu kita lakukan dalam menghadapi golongan sebegini? Adakah ini fitrah seorang manusia ingin melihat bukti atau perkara abnormal? Mari renungkan sepotong firman Allah,

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata : Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati? Allah berfirman: Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanKu)? Nabi Ibrahim menjawab: Bahkan (aku percaya dengan yakin) , akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya). Allah berfirman: (Jika begitu) Ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya) . Setelah itu, letakkanlah atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian, serulah burung-burung itu, nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana.”
( Surah Al-Baqarah 2 : 260)


Menjadi perkara yang normal untuk manusia melihat bukti sebelum benar-benar meyakini sesuatu hakikat. Allah telah menunjukkan contoh kepada manusia melalui kisah KekasihNya, Ibrahim A.S. Sebagai makluman, Nabi Ibrahim A.S. dikurniakan gelaran Khalilullah(Kekasih Allah). Bayangkan bagaimana seorang Nabi dan Rasul yang mendapat gelaran Kekasih Allah pun ingin melihat bukti sebagai penguat keimanan, inikan lagi manusia biasa? Jadi, ayuh siapkan diri kita.

Sekilas Sejarah Nabi Ibrahim A.S.

Adapun ketika itu, Namrud merupakan Raja Babilonia. Dia telah bermimpi seorang anak kecil melompat ke dalam biliknya dan merampas mahkota yang sedang dipakai di atas kepalanya, kemudian anak kecil itu menghancurkan mahkota tersebut. Dipendekkan cerita, Namrud telah memerintahkan semua bayi yang dilahirkan agar dibunuh samaada lelaki mahupun perempuan.
Maka, dilarikan Nabi Ibrahim A.S. oleh ibunya ke sebuah gua bagi menyelamatkannya. Baginda dibesarkan di gua tersebut sehingga mencapai usia remaja. Ketika ibunya keluar mencari makanan di Bandar, baginda mula keluar melihat keindahan alam dan mula MEMIKIRKAN tentang pencipta alam. Baginda mula memikirkan siapakah tuhan yang sebenarnya? Kisah ini digazetkan oleh Allah dalam Al-Quran,

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda kebesaran Kami yang terdapat di langit dan di bumi, dan Kami memperlihatkan kepadanya agar ia yaki. Ketika malam telah menjadi gelap, ia melihat sebuah bulan (lalu) dia berkata : Inilah Tuhanku. Tetapi setelah bulan tenggelam dia berkata : Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang sesat. Kemudian ketika melihat matahari terbit, dia berkata : Inilah Tuhanku, ini lebih besar, maka ketika matahari itu tenggelam, dia berkata : Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas dari apa yang kamu persekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada yang benar, dan aku bukanlah termasuk dalam orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.”
(Surah Al-An’am : Ayat 75-79)

Kisah ini menceritakan betapa pentingnya bagi seorang pendakwah untuk sentiasa BERFIKIR dan BERUSAHA mencari ilmu dalam menemukan kebenaran.

Kelengkapan X-tra Seorang Pendakwah Muda.

Saya pasti sahabat dan sahabiyah semua tahu perkara-perkara asas dalam dakwah sebagaimana yang kita pelajari dalam buku Pengantar Dakwah. Namun hari ini, saya terpanggil untuk menyentuh mengenai kepentingan menuntut ilmu dalam pelbagai bidang terutamanya Isu Semasa,Sains dan Teknologi. Kekuatan seorang manusia ialah akal yang dikurniakan kepadanya. Golongan cerdik pandai ini akan dapat ditumpaskan melalui akal dan ilmu.
Seorang pendakwah tidak seharusnya hanya mahir dalam sesuatu ilmu sahaja tetapi perlu:-
  1. Peka pada isu semasa.


  1. Pandai mengaitkan antara kejadian semasa dengan dakwah yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, Tajuk yang ingin dikisahkan mengenai kelebihan menutup aurat. Selain menyampaikan kepada mad’u kelebihan yang dijanjikan Allah dan RasulNya, sampaikan juga bahawa kejadian rogol yang kian kerap berlaku kini akibat ingkar pada perintah memakai tudung.

Selain itu, kaitkan juga dengan kajian saintifik para saintis. Katakan padanya, dalam kepala manusia, terkandung satu cecair fosforus yang akan cair akibat suhu panas yang melampau. Cecair ini membantu manusia menyelesaikan masalah kerana cecair ini menjadikan otak manusia cepat berfikir. Melalui pemakaian tudung, kepala terlindung dari sinaran matahari yang terik dan akan menjadikan pemakainya terlindung dari pencairan cecair ini. Sebab itu, sekiranya anda perhatikan, orang-orang yang bertudung labuh, majoritinya bijak-bijak. Maha Suci Allah yang Maha Bijaksana!

  1. Pandai mendatangkan analogi atau kisah-kisah yang mampu menyokong dakwah. Contohnya, bandingkan sesuatu yang berharga dengan emas atau apa jua barangan yang dianggap berharga oleh mad’u kita. Sebagai contoh, kisah ranting yang diikat seberkas sebelum dipatahkan dengan ranting yang dipatahkan sebatang demi sebatang untuk memupuk semangat bersatu-padu.


  1. Penggunaan bahasa yang pelbagai dan tepat. Biasanya, golongan intelektual amat mengambil berat penggunaan bahasa. Contohnya, pendakwah mestilah mampu membezakan antara perkataan harus dan boleh. Harus memang membawa maksud boleh dilakukan tetapi perkataan boleh tidak semestinya membawa maksud harus dilakukan. Perkataan boleh mungkin membawa maksud boleh dilakukan tetapi hukumnya makruh.

  1. Banyakkan membaca buku terutamanya berkenaan Teknologi dan Sains. Intelektual yang kita hadapi bukan sebarangan orang. Mereka mahir dalam bidang Teknologi dan Sains. Sebab itu saya sarankan pendakwah muda seperti kita membaca buku-buku seperti ini dan cari perkaitan antara Sains dengan Islam. Antara buku-buku yang saya cadangkan buku tulisan Dr. Danial, Harun Yahya dan Ahmad Deedat(The Choice). Kaitkan antara kedua-duanya agar mereka lebih mudah menerima dakwah yang dibawa. Berdasarkan pengalaman saya, orang yang hebat dan petah apabila berkata-kata ini kesemuanya memang ulat buku! Sekiranya kita masuk ke bilik mereka, bilik seolah-olah menjadi perpustakaan mini yang dipenuhi pelbagai buku dari pelbagai cabang ilmu!

Segala yang baik datangnya dari Allah, segala yang buruk hakikatya jua datang dari Allah tetapi disebabkan kelemahan diri ini. Segala teguran yang membina amatlah dialu-alukan.
Wallahu A’lam.

..:: Aktiviti Dakwah's Crew ::..