Tuesday, 15 May 2012

Dakwah berwadah Zikrullah



Dakwah menuntun roh manusia. Tanpa tautan hati kepada mad'u (sasaran dakwah), nasihat & kuliah hanyalah memenuhi koleksi informasi tanpa memanifestasikan sahsiah

Entiti pendakwah, boleh diibaratkan bagaikan sebiji mentol. andainya malap, lemah ataupun rosak, takkan bermanfaat hatta semahal manapun harganya atau segah apapun jenamanya. Cuma mentol yang tidak rosak dan menyala terang dapat dimanfaatkan manusia. Tetapi, tidak cukup setakat itu. Jika tidak bersambungan dengan wayar, tetap juga tidak bermanfaat.

Analogi yang ingin saya bawa, mudah. Mentol adalah Pendakwah. Wayar adalah Zikrullah manakala hidayah sebagai Sumber Janakuasa yang bersumberkan Allah SWT.

Menyentuh insan, tidak cukup dari luaran. Hati adalah sotware dalaman, virus yang menyerang pula bersifat halus. Sudah tentu wabak penyakit hati rosak di zaman kita kini tidak cukup disembuhkan dengan unsur-unsur materealistik.

Sekeping hati akan tersedar jika disapa oleh sentuhan yang Maha Penyayang. Bukan sebarang panggilan dapat membawa manusia yang lara menyimpang, kembali ke mehrab ibadah. Bukan yang biasa-biasa berupaya, melainkan ianya terbias dek hubungan hati nan khusyuk terhadap Allah. Hubungan hati yang bersih bertautan dengan yang Maha Suci (al-Quddus), akan menjadi ibarat bulan yang membiaskan cahaya. Meskipun kadangkala ilmu tak seberapa, bekalkanlah diri dengan lidah yang lazim menyebut "Allahu Allah", biarlah dakwah disampaikan seiringan berkat Zikrullah. InsyaAllah..sentuhan hati kan nanti berputik lalu menyerlah indah.



Saya bawakan contoh sebuah gerakan yang menyebarkan dakwah melalui Zikrullah; Tarekat Qadiriah wa Naqsyabandiah atau ringkasannya TQN. Gerakan ini telah meluaskan dakwahnya ke serata Indonesia sehinggalah ke Malaysia, Singapura dan wilayah nusantara yang lain. Dikuatkan dengan pengiktirafan oleh Nahdhatul Ulama' (N.U), keberkesanan zikrullah sebagai penawar kemelaratan kalbu sudah terbukti.

 Bagi memudahkan pemahaman, saya sertakan Link tentang TQN ini di bawah:
Habib-habib yang mendapat madad daripada Rasulullah s.a.w juga semakin tersohor dengan kalimah dakwah mereka dalam mengingatkan manusia terhadap Nabi Muhammad s.a.w sambil berselawat & bermaulud dalam irama zikrullah. Intipati yang terpenting adalah nur zikrullah. Inilah kunci bagi membuka pintu hati manusia yang telah ditutup oleh himpitan nafsu dan hasutan syaitan. Habib Umar, Habib Zainal Abidin al-Jifri, Habib Munzir dan ramai lagi sewajarnya kita contohi roh dakwah mereka yang bersumberkan cinta & rindu. Ingatan yang tulus terhadap Allah & kasih yang suci terhadap Rasulullah s.a.w


Mungkinkah kita..
Melihat tanpa kerut di dahi, mendengar tanpa gelisah di hati? Khabar ngeri umat ini, harus dirasa dilemanya oleh kita semua.
Ketuk sedikit hatimu itu, apa yang sering didegupkan? Adakah Allahu..Allah..Allahu..Allah..?
Atau hanya setakat hal remeh-temeh yang pasti fana nanti?

"Hapuskan hatimu dari selain yang dicintai (Allah)" 
[Al-Syibli]

Masyarakat kita sekarang, mengharapkan pendakwah yang bertautan akrab hatinya dengan Tuhan. Mereka, sangat mahukan rasa Cinta & Rindu yang jujur kepada Allah. Di daerah hati, ada ceruk yang tak mampu diisi oleh gelak tawa & kepuasan, ketahuilah..bahawa itulah daerah Zikrullah. Semua manusia mempunyai hati yang dambakan tuhan. Kita yang ditaklifatkan, memimpin tangan masyarakat awam, meraba-raba cahaya di sebalik kegelapan. 




Dalam masa kita memantapkan thaqafah, mengasah bakat berbicara & memahirkan skil komunikasi, tautan hati dengan Allah s.w.t juga wajib sentiasa berterusan melalui zikrullah. InsyaAllah, segala-galanya akan menjadi mudah dengan rahmatNya. 

Namun harus diingat, perjuangan tak menjanjikan kemudahan, cabaran demi cabaran adalah tarbiyah bagi mengangkat martabat kita selaku Khalifah & 'Ibadallah.



1 comments:

Farzana Maulan said...

This is the advice that me need and all the dakwah's crews needs.. We need it as the goal of dakwah...

Post a Comment

..:: Aktiviti Dakwah's Crew ::..